Baka anjing kereta luncur salji Anjing kereta luncur salji

Anjing kereta luncur salji asli dipilih untuk saiz, kekuatan, dan stamina, tetapi anjing moden dibiakbakakan untuk kelajuan dan daya ketahanan.[12][17] Kebanyakan anjing kereta luncur salji berukuran seberat sekitar 25 kilogram (55 lb),[31] tetapi dapat berukuran seringan 16 kilogram (35 lb), dan dapat mencecah 32 kilogram (71 lb).[17] Anjing kereta luncur salji mempunyai gaya jalan sangat cekap,[31] dan "musher berusaha untuk mendapatkan pasukan anjing cukup seimbang yang memadani semua anjing untuk kedua-dua saiz (hampir-hampir sama) dan gaya jalan (kelajuan jalan, ligasan, atau larian anjing serta 'kelajuan peralihan', iaitu apabila anjing beralih daripada satu gaya jalan kepada yang gaya jalan lain) supaya seluruh pasukan anjing bergerak dengan cara serupa yang meningkatkan kecekapan pasukan keseluruhan."[17] Ia dapat berlari sehingga selaju 45 kilometer per jam (28 mph).[32] Oleh sebab itu, anjing kereta luncur salji mempunyai kaki renang sangat tahan lasak dengan jari kaki rapat.[17] Kaki renangnya bertindak sebagai kasut salji.[29]

Baka anjing kereta luncur salji biasanya dapat dibahagikan kepada subjenis lanjut:

  • anjing pecut, yang dibiakbakakan untuk menarik kereta luncur salji dengan cepat
  • anjing angkutan, yang dibiakbakakan untuk menarik berat besar
  • anjing jarak jauh, yang dibiakbakakan untuk mengharungi beratus-ratus malah beribu-ribu batu
  • anjing kereta luncur saji pelbagai guna orang asli, seperti laika Rusia yang menarik kereta luncur salji serta menggembala rusa kutub dan memburu buruan.[7]

Bulu anjing bergantung pada kegunaannya. Anjing angkutan patut mempunyai lapis bulu padat dan hangat untuk memerangkap haba[17] dan anjing pecut pulaa mempunyai lapis bulu pendek yang melepaskan haba.[2] Kebanyakan anjing kereta luncur salji mempunyai lapis bulu ganda, dengan lapis bulu luar yang menangkis salji dari tubuh dan lapis bulu dalam kalis air untuk penebatan.[32] Dalam cuaca panas, anjing mungkin mengalami masalah untuk mengawal atur suhu badan dan mungkin menjadi terlalu panas.[17] Ekornya berfungsi untuk melindungi hidung dan kaki daripada membeku apabila anjing melingkar untuk tidur.[29] Ia juga mempunyai susunan unik bagi pembuluh darah pada kaki untuk membantu melindunginya daripada luka beku.[29]

Selera makan ialah sebahagian besar daripada pemilihan anjing kereta luncur salji; anjing cerewet di luar denai mungkin menjadi lebih cerewet di denai.[17] Ia diberi makan diet tinggi lemak dan di denai mungkin memakan salmon berminyak atau mamalia laut berbluber.[29] Anjing kereta luncur salji juga tidak boleh menjadi terlebih agresif dengan anjing lain.[17] Ia juga memerlukan banyak senaman.[33]

Baka

Seekor chinook

Chinook

Rencana utama: Chinook (baka anjing)

Chinook ialah baka anjing kereta luncur salji jarang yang dikembangkan di New Hampshire pada awal tahun 1900-an oleh Arthur Walden, seorang pengembara kerubut emas dan pemandu anjing, dan merupakan campuran mastif Inggeris, anjing Greenland, anjing gembala Jerman, dan anjing gembala Belgium.[34] Ia merupakan anjing negeri New Hampshire dan diiktiraf oleh American Kennel Club (AKC) dalam Kumpulan Kerja pada tahun 2013.[34] Ia diperihalkan sebagai anjing yang atletik dan "bertubuh keras" dengan "gaya jalan tanpa penat".[34] Warna lapis bulunya sentiasa kuning keperang-perangan, daripada warna madu pucat hingga keemasan kemerah-merahan.

Seekor anjing Eskimo Kanada

Anjing Eskimo Kanada

Rencana utama: Anjing Eskimo Kanada

Anjing Eskimo Kanada atau anjing Inuit Kanada, yang juga dikenali sebagai husky Eskimo, anjing Eskimo, dan qimmiq (perkataan bahasa Inuit untuk "anjing"), berasal daripada anjing kereta luncur salji orang asli yang digunakan oleh orang Thule di Kanada Artik.[35] Baka sebagaimana yang wujud kini terutamanya dikembangkan melalui usaha pemerintah Kanada.[35] Ia mampu menarik muatan seberat 45–80 kilogram (99–176 lb) setiap anjing di sepanjang jarak 24–113 kilometer (15–70 bt).[35] Anjing Eskimo Kanada juga digunakan sebagai anjing pemburu, yang membantu para pemburu Inuit untuk menangkap anjing laut, muskox, dan beruang kutub.[35] Pada 1 Mei 2000, wilayah Nunavut di Kanada secara rasmi mengangkat "anjing Inuit Kanada" sebagai lambang haiwan bagi wilayah itu.[36] Ia dianggap secara genetik sebagai baka sama dengan anjing Greenland, kerana penyelidikan menunjukkan bahawa kedua-duanya masih belum cukup mencapah secara genetik untuk dianggap sebagai baka berasingan.[37]

Eurohound

Eurohound

Rencana utama: Eurohound

Eurohound ialah sejenis anjing yang dibiakbakakan untuk perlumbaan anjing kereta luncur salji gaya pecut. Eurohound biasanya dibiakbakakan secara bersilang daripada kumpulan husky Alaska dan mana-mana baka daripada sebilang baka anjing penuding.[38]

Seekor anjing Greenland

Anjing Greenland

Rencana utama: Anjing Greenland

Anjing Greenland ialah anjing berat dengan daya ketahanan tinggi tetapi kurang kelajuan.[2] Ia kerap digunakan oleh orang yang menawarkan pengembaraan kereta luncur salji anjing dan ekspedisi panjang.[2] Setakat tahun 2016, terdapat kira-kira 15,000 ekor anjing Greenland yang tinggal di Greenland, tetapi beberapa dekad lalu, angka itu jauh lebih tinggi dan projek telah dimulakan untuk memastikan kemandirian baka ini.[9] Di banyak rantau di utara Bulatan Artik di Greenland, ia merupakan cara pengangkutan utama pada musim sejuk.[8][39] Kebanyakan pemburu di Greenland lebih memilih pasukan kereta luncur salji anjing berbanding dengan kereta salji, kerana pasukan kereta luncur salji anjing lebih dipercayai.[39] Ia dianggap secara genetik sebagai baka sama dengan anjing Eskimo Kanada, kerana penyelidikan menunjukkan bahawa kedua-duanya masih belum cukup mencapah secara genetik untuk dianggap sebagai baka berasingan.[37]

Greyster yang sedang ber-scooterjoring

Greyster

Rencana utama: Greyster

Greyster ialah sejenis anjing kereta luncur salji yang dibiakbakakan untuk perlumbaan anjing kereta luncur salji, terutamanya sukan tanah kering seperti canicross dan bikejoring.[19] Greyster dibiakbakakan secara bersilang daripada grehaun Inggeris dan anjing penuding berbulu pendek Jerman.[40]

Seekor husky Alaska

Husky Alaska

Rencana utama: Husky Alaska

Anjing yang paling lazim digunakan dalam perlumbaan kereta luncur salji anjing,[31] iaitu husky Alaska, ialah anjing baka kacuk[12] yang dibiakbakakan khusus untuk prestasinya sebagai anjing kereta luncur salji.[2] Terdapat dua keragaman yang berbeza secara genetik bagi husky Alaska: kumpulan pecut dan kumpulan jarak jauh.[14] Malamut Alaska dan husky Siberia menyumbang secara genetik dengan paling banyak kepada kumpulan jarak jauh, semenara anjing penuding Inggeris dan saluki pula menyumbang dengan paling banyak kepada kumpulan pecut.[14] Anjing gembala Anatolia menyumbangkan etika kerja kuat kepada kedua-dua keragaman.[14] Terdapat banyak husky Alaska yang merupakan sebahagiannya diturunkan daripada grehaun Inggeris, yang meningkatkan kelajuan.[2]

Husky Labrador

Husky Labrador

Husky Labrador berasal dari bahagian Labrador di provinsi Newfoundland dan Labrador di Kanada. Baka ini barang kali tiba di kawasan ini dengan orang Inuit yang datang ke Kanada pada sekitar tahun 1300 M. Walaupun namanya sedemikian, husky Labrador tidak berkaitan dengan anjing pengutip Labrador, tetapi sebenarnya paling berkait rapat dengan anjing Eskimo Kanada. Terdapat anggaran 50–60 ekor husky Labrador di dunia.[41]

Husky Sakhalin awet, "Jiro", yang dipamerkan

Husky Sakhalin

Rencana utama: Husky Sakhalin

Husky Sakhalin, yang juga dikenali sebagai anjing Karafuto, ialah satu baka anjing anjing kereta luncur salji yang dikembangkan di pulau Sakhalin. Husky Sakhalin dihargai kerana ketahanannya, perangai hebat, dan kebolehlatihan mudah, malah menjadi anjing pilihan yang digunakan oleh pihak tentera Soviet untuk menghela peralatan dalam keadaan teruk sebelum Perang Dunia Kedua.[7] Malangnya dengan kemunculan perjalanan berjentera, para pegawai Soviet membuat keputusan bahawa kos penyelenggaraan husky Sakhalin adalah membazir dan memusnahkan anjing ini, dengan hanya segelintir yang tinggal di Jepun yang terselamat.[7] Terdapat hampir-hampir 20 ekor husky Sakhalin yang tersisa di Pulau Sakhalin.[42]

Dua ekor husky Siberia yang memakai abah-abah

Husky Siberia

Rencana utama: Husky Siberia

Husky Siberia, yang lebih kecil daripada malamut Alaska yang kelihatan serupa, lebih banyak menarik, paun demi paun, berbanding dengan malamut. Sebagai keturunan anjing kereta luncur salji yang dibiakbakakan dan digunakan oleh orang asli Chukchi di Siberia yang diimport ke Alaska pada awal tahun 1900-an, ia digunakan sebagai anjing pekerja dan anjing luncur kereta salji perlumbaan di Nome, Alaska sepanjang tahun 1910-an, dan kerap mendominasi All-Alaska Sweepstakes.[43] Ia kemudiannya dibiakbakakan secara meluas oleh musher rekreasi dan penggemar anjing pertunjukan di Amerika Syarikat dan di Kanada sebagai husky Siberia, selepas kepopularan yang diperoleh daripada pengangkutan serum ke Nome tahun 1925.[44] Husky Siberia berdiri setinggi 51–60 sentimeter (20–23.5 in), berukuran seberat 16–27 kilogram (35–60 lb) (16–23 kilogram (35–50 lb) untuk betina, 20–27 kilogram (45–60 lb) untuk jantan),[45] dan telah dibiakbakakan secara terpilih untuk kedua-dua penampilan dan keupayaan penarikan.[2] Ia masih digunakan dengan kerap kini sebagai anjing kereta luncur salji oleh para musher kompetitif, rekreasi, dan pemandu pelancong.[46]

Seekor husky Sungai Mackenzie

Husky Sungai Mackenzie

Rencana utama: Husky Sungai Mackenzie

Istilah husky Sungai Mackenzie memerihalkan beberapa populasi tempatan bertindihan bagi anjing jenis anjing kereta luncur salji Artik dan sub-Artik, yang tiada salah satu pun daripadanya membentuk baka. Anjing dari Yukon disilangkan dengan baka besar Eropah seperti anjing Santo Bernard dan anjing Newfoundland untuk mewujudkan anjing pengangkut berkuasa yang mampu bertahan dalam keadaan keras Artik.[47]

Laika Yakutia

Laika Yakutia

Rencana utama: Laika Yakutia

Laika Yakutia ialah baka anjing pekerja purba yang berasal dari pesisir laut Artik di Republik Sakha (Yakutia). Dari segi fungsi, laika Yakutia ialah laika kereta luncur salji, yang dapat menggembala, berburu, serta menghela angkutan. Laika Yakutia diiktiraf oleh Persekutuan Kinologi Antarabangsa (FCI)[48] dan Khidmat Ternakan Asasi AKC.[49] Laika Yakutia ialah anjing kuat dan padat bersaiz sederhana dengan otot berkuasa dan lapis bulu ganda tebal untuk mengatasi suhu pahit Artik.[50] Ia merupakan anjing pilihan penjelajah kutub Rusia Georgy Ushakov, yang menghargainya kerana ketahanan dan keserbagunaannya kerana dapat memburu anjing laut dan beruang kutub serta menghela kereta luncur salji sejauh beribu-ribu batu.[7]

Seekor malamut Alaska

Malamut Alaska

Rencana utama: Malamut Alaska

Malamut Alaska ialah anjing angkutan besar dan kuat.[2] Ia berukuran seberat 36–54 kilogram (80–120 lb) dan mempunyai muka bulat dengan ciri lembut.[2] Anjing angkutan ialah kelas anjing yang merangkumi kedua-dua anjing pedigri dan anjing bukan pedigri.[2] Malamut Alaska dianggap sebagai salah satu baka pertama anjing bela jinak, yang berasal dari rantau Kotzebue Sound di Alaska.[51] Anjing ini terkenal kerana dada lebar, lapis bulu tebal, dan kaki keras.[2] Kelajuan mempunyai sedikit atau tidak mempunyai sebarang nilai untuk anjing ini - sebaliknya, tekanan adalah pada kekuatan penarikan.[2] Ia digunakan dalam ekspedisi dan perjalanan pengembaraan panjang dan untuk menghela muatan berat.[2] Malamut Alaska ialah anjing pilihan untuk kerja penghelaan dan pengutusan dalam Perang Dunia Kedua.[51]

Seekor anjing Samoyed

Anjing Samoyed

Rencana utama: Anjing Samoyed

Anjing Samoyed ialah laika yang dikembangkan oleh orang Samoyed di Siberia, yang menggunakannya untuk menggembala rusa kutub dan berburu, di samping menghela kereta luncur salji.[52] Anjing ini sangat dihargai, dan orang yang memilikinya sangat bergantung padanya untuk kemandirian, sehingga anjing ini diizinkan untuk tidur di dalam khemah bersama dengan pemiliknya.[52] Anjing Samoyed berukuran seberat kira-kira 20–29 kilogram (45–65 lb) untuk jantan dan 16–23 kilogram (35–50 lb) untuk betina dan berdiri setinggi 48–60 sentimeter (19–23.5 in) pada paras bahu.[52]

Anjing tarikan Chukotka pada awal abad ke-20

Anjing tarikan Chukotka

Anjing tarikan Chukotka ialah baka anjing spits asli yang berasal daripada orang Chukchi di Rusia. Pasukan anjing tarikan Chukotka telah digunakan sejak zaman prasejarah untuk menarik kereta luncur salji dalam keadaan mencabar, seperti pemburuan mamalia laut di atas air batu sarah lautan. Anjing tarikan Chukotka paling terkenal sebagai leluhur kepada husky Siberia.[53]

Anjing tarikan Kamchatka

Anjing tarikan Kamchatka ialah baka tempatan laika kereta luncur salji jarang yang dikembangkan oleh orang Itelmen dan orang Koryak di Kamchatka, Rusia.[54][55][56] Buat masa ini, terdapat usaha berlangsung untuk menghidupkan baka ini semula.[57]

Baka lain

Banyak baka anjing bukan kereta luncur salji telah digunakan sebagai anjing kereta luncur salji. Pudel,[58] seter Ireland,[2] anjing penuding berbulu pendek Jerman,[2] anjing pengutip Labrador, anjing pengutip keemasan,[2] anjing Newfoundland,[15] cau-cau, dan anjing Santo Bernard[15] kesemuanya telah digunakan untuk menarik kereta luncur salji pada masa lalu.